Saturday, July 12, 2014

Kronologi kejadian tembak menembak di Resort Pulau Mabul

Berikut merupakan kronologi kejadian cubaan menculik di Pulau Mabul

Bot Ronda RH40
- Sjn 121441 Jefridin b Harun
- Kpl 151279 Ab Rajah bin Jamuan
- Lkpl 151992 Nicholas Sarim
- Konst 176543 Zakieh bin Aliep
- bersama 4 x UTK
- PGR12 - 4 PPM dan 4 UTK

- Pada jam 2310 ASP Safardi Samad, Pegawai Marin Semporna terima maklumat pertama dari Ketua Bot Ronda Sjn Jefridin jam 2310 hrs.
- Kejadian di ruang makan dan pejabat reception di Jeti Smart Water Bungalow, Resort Pulau Mabul Semporna
- Diserang hendap tidak kurang dari 8 orang lelaki berpakaian hitam, seluar celoreng, penutup kepala ski dan bersenjata dipercayai jenis calibre 7.62mm kerana kelongsong yang bertaburan.
- Kpl Rajah dan Konst Zakieh pada ketika itu sedang makan di tempat kejadian dimana serang hendap berlaku.
- Manakala botronda yang berada di jeti berhampiran tempat kejadian juga menjadi sasaran.
- 2 anggota termasuk Sjn Jefridin sempat mengambil perlindungan.
- Kumpulan suspek disyaki datang dari arah Filipina yang bergerak secara perlahandari arah belakang ke lokasi dan mungkin naik ke pelantar atau berada di air surut terus serang hendap dengan melepaskan tembakan rambang ke arah jeti, botronda termasuk kedai makan dan pejabat reception.
- Selepas kejadian Sjn Jefridin cuba mencari kedua-dua anggotanya namun tiada dan satu senjata telah dilarikan.
- Usaha mengesan dilakukan dan menjumpai mayat Kpl Rajah bin Jamuan berada di bawah jeti tempat kejadian.
-Suspek dipercayai lari menuju ke Lingitan.
- Tiada pelancong yang diculik setakat ini.

-hantuperang-

Terkini - Polis Marin ditembak mati

Ahad - Seorang anggota Polis Marin telah ditembak mati manakala seorang lagi telah diculik ketika insiden berbalas tembakan dalam percubaan menculik yang cuba dilakukan di Pulau Mabul awal pagi tadi. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja mendapat pengesahan daripada Ketua Polis Negara.

-hantuperang-

Kalau dah namanya komando...

Komando! Komando! Komando!

Tak perlu kata apa-apa lagi, tak perlu dipertikaikan keupayaan yang ada pada mereka. Lihat hasilnya saja sudah tahu, tiada kecederaan menunjukkan yang pasukan komando kita masih mengekalkan kualiti pada tahap world standard. Melakukan covert ops dengan berkesan lagi-lagi di negara asing seolah-olah ingin menunjuk bahawa kita mampu beroperasi di mana-mana sahaja di dunia ini.

Syabas dan Tahniah...

Friday, July 11, 2014

Pahit itu Realiti

Dunia dikejutkan sekali lagi oleh insiden berdarah di Palestin yang banyak mengorbankan ramai orang awam terutamanya kanak-kanak. Pelaku dan mangsanya masih sama tidak berubah dari dahulu lagi sejak wujudnya negara haram yahudi iaitu Israel. Akan tetapi hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak Israel telah pun diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat walaupun mereka mewujudkan Israel dengan cara penipuan. Manakala Palestin pula adalah contoh kegagalan dunia arab serta dunia Islam di dalam mempertahankan Palestin yang mempunyai salah satu tempat ibadat suci bagi orang Islam iaitu BaitulMaqdis.

Tragedi bersejarah terbaru ini sekali lagi menyaksikan kegagalan negara-negara arab disekelilingnya untuk membantu menyelamatkan Palestin dan menyerang balas secara ketenteraan terhadap ketumbukan Israel Defence Force atau IDF. Bukannya mereka tidak pernah cuba untuk membantu tetapi siapa yang tidak tahu mengenai "6 Days War" dimana akibat tiada kesepakatan antara semua negara terlibat, kesilapan taktikal perang menyebabkan Israel yang hampir kalah itu tiba-tiba berjaya menjadi pemenangnya dan ini merupakan tamparan hebat kepada semua negara Islam ketika itu. Akibat daripada kekalahan itulah Israel semakin angkuh dan berlagak kerana mereka tahu selagi negara-negara Islam tidak sepakat selagi itulah Palestin akan sentiasa ditindas.

Tragedi terbaru ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia marah dan lebih teruk lagi mempersendakan kewujudan Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah pasukan ketenteraan yang kewujudannya dikatakan hanyalah untuk berkawad dan membuat persembahan di Dataran Merdeka. Golongan yang menghina dan mempersendakan ATM adalah golongan dangkal yang tidak memahami betapa kompleksnya situasi di Palestin itu jika kita ingin membantu mereka. Pelbagai faktor yang menghalang kita dari membantu Palestin secara ketenteraan, malah faktor-faktor ini jika tidak diambil kira hanya akan menjejaskan operasi ketenteraan jika Malaysia mengambil keputusan untuk menyerang balas Israel bagi tujuan membantu Palestin.

Kedudukan Palestin letaknya bukan diseberang Selat Melaka, juga bukan boleh dimasuki melalui Tambak Johor atau pun melintasi sempadan Golok secara berjalan kaki. Tetapi letaknya jauh beribu batu nautika yang memerlukan pergerakan tentera besar-besaran secara pantas dengan melalui udara. Untuk membawa tentera dalam jumlah yang besar serta melalui ruang udara negara lain bukanlah satu perkara yang mudah lebih lagi jika diketahui bahawa negara atau kawasan yang akan dilalui itu mungkin terdapat sekutu rapat Israel. Itu sahaja sudah memberi alasan kepada Israel atau sekutu Israel untuk bertindak balas terhadap pergerakan tentera Malaysia.

Pergerakan udara ini walaupun mendapat bantuan tempur daripada pesawat pejuang seperti SU30-MKM atau FA18-D Hornet, wujud pula masalah baru iaitu rompongnya pertahanan udara di negara kita. Dengan jumlah sistem pertahanan udara kita yang sedikit serta kemampuan terhad pada jarak yang sangat dekat tidak memungkinkan kita untuk mengawal ruang udara dengan berkesan lebih-lebih lagi kita berjiran dengan sekutu rapat Israel dan Amerika Syarikat yang sentiasa mencari peluang untuk menceroboh negara kita. Selain daripada penghantaran pasukan tempur dan pasukan bantuan tempur, sokongan logistik secara berterusan mestilah terlibat sekali. Minyak, makanan, pengangkutan, senjata, pangkalan tetap atau sementara, hospital medan merupakan sebahagian daripada daripada logistik dan sokongan tempur.

Dalam peperangan moden, angkatan tentera tanpa sokongan logistik yang bersesuaian hanyalah merosakkan kekuatan ketumbukan tentera tersebut. Bayangkan jika tentera kita sedang berperang di sana tanpa sokongan logistik yang mantap sebagai contoh makanan ditambah pulak kekurangan persenjataan ianya hanya menambah beban dalam mendapatkan kemenangan. Ditambah pula serangan ke atas sektor logistik yang boleh menyebabkan lumpuhnya mobiliti tentera, jatuhnya moral dan semangat tentera, misi yang cuba dicapai akan menjadi lebih sukar, lebih lama dan kekuatan tentera mungkin berkurang. Kerana itu didalam operasi ketenteraan, logistik boleh menjadi mimpi ngeri bagi mana-mana ketumbukan tentera jika tidak mempunyai sokongan logistik yang sesuai. Secanggih mana pun atau sehebat mana pun jika logistik hancur, maka ketumbukan tentera boleh musnah dan kalah sebagaimana yang pernah dibuktikan ketika Perang Dunia ke-2.

Apabila melibatkan diri didalam suatu konflik bersenjata di mana lokasi pertempuran sangat jauh serta memerlukan mobiliti yang tinggi, ianya tidak dapat lari dan berkait rapat dengan Ekonomi. Segala pergerakan tentera, makanan, persenjataan, perubatan serta pelbagai lagi memerlukan duit untuk menampung kos operasi. Jika peperangan ini berlangsung dalam masa yang lama keupayaan ekonomi negara kita dikhuatiri tidak mampu untuk menanggung kos operasi ketenteraan. Negara kita tidak punya keupayaan ekonomi yang besar seperti kuasa besar di dunia sebagai contoh Amerika Syarikat, Jepun, China yang mana mereka mampu untuk terlibat dalam peperangan secara jangka panjang. Sedangkan Ops Daulat tempohari di Lahad Datu memakan belanja berjuta ringgit apalagi jika kawasan operasinya terletak di Palestin.

Pentingnya kekuatan ekonomi bagi sesebuah negara jika ingin terlibat didalam peperangan. Jangan dilupakan bagaimana ekonomi Amerika Syarikat lumpuh disebabkan terlalu banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk menanggung kos operasi ketika Perang Vietnam berlangsung sekitar tahun 1960-an hingga menyebabkan sistem matawang bersandarkan emas yang digunakan pada waktu itu digantikan sistem matawang kertas. Itu sebuah negara besar dengan ekonomi yang besar pun boleh lumpuh ekonomi mereka disebabkan terlibat dengan peperangan. Melainkan jika terdapat bantuan kewangan dari negara-negara Arab dalam jumlah yang banyak yang membolehkan operasi ketenteraan itu dijalankan dengan berkesan.

Dari sudut politik dan ekonomi serantau mungkin akan terdapat negara sekutu rapat Israel yang akan memboikot atau membuat sekatan ekonomi terhadap negara. Jika ini terjadi negara hanya akan terlibat didalam kemelesetan ekonomi akibat sekatan ekonomi seperti mana yang pernah berlaku terhadap Iraq, Libya dan beberapa negara yang lain. Negara akan menjadi tidak stabil akibat kekacauan dalaman, akibat huruhara disebabkan kemelesetan ekonomi yang berpanjangan. Kemampuan untuk berdagang telah disekat, memungkinkan campur tangan pihak luar untuk mengawal ekonomi negara dengan cara memberi pinjaman bersyarat atau melalui perjanjian-perjanjian yang hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja. Sebagaimana yang pernah berlaku ketika zaman penjajahan Inggeris, Belanda, Portugis suatu ketika dahulu tidak mustahil perkara sedemikian akan berulang lagi.

Buat masa ini, perkara yang lebih penting bagi kita semua adalah jihad ekonomi. Kerana dengan ekonomi kukuh dan mantap beserta dengan keimanan yang tinggi saja yang membolehkan situasi seperti terjadi di Palestin ini dapat diterbalikkan. Melalui sumber kewangan dan ekonomi yang bagus itulah akan digunakan untuk membina sistem persenjataan yang hebat, juga digunakan untuk memperbanyakkan jumlah senjata dan sokongan senjata ke tahap maksimum yang digeruni musuh. Kerana pada ketika ini kebergantungan negara kita dan negara-negara islam yang lain untuk membeli senjata hanyalah daripada negara-negara pengeluar senjata bukan Islam dan ada diantaranya merupakan sekutu rapat.

Kebolehupayaan ini akan mengelakkan kita menjadi seperti Argentina ketika Falkland War yang mana Perancis telah membuat sekatan supaya peluru berpandu anti kapal yang dibeli tidak dapat dihantar ke Argentina. Betapa pentingnya ekonomi yang kuat agar kita mampu untuk berperang dimana saja dalam tempoh yang lama tanpa perlu mengharap kepada bantuan asing. Betapa pentingnya ekonomi agar kita tidak perlu untuk membeli senjata daripada negara lain. Semuanya berkait rapat antara satu sama lain. Malah bantuan kemanusiaan, perubatan serta pembangunan semula dapat disalurkan secara terus menerus tanpa khuatir kerana ekonomi telah kukuh.

Sebelum kita memikirkan untuk terlibat dalam peperangan, ini antara cebisan faktor yang harus kita ambil kira sebelum menghantar ketumbukan tentera ke sana. Itu tidak lagi termasuk keupayaan kita untuk menyediakan pasukan simpanan tentera dalam jumlah yang besar beserta kelengkapan persenjataan yang lengkap bagi pasukan simpanan. Golongan keyboard warrior yang dangkal ini pun belum tentu pernah menyertai pasukan simpanan tentera sebagai sokongan tambahan kepada pasukan tetap sedia ada apalagi menjalani latihan ketenteraan yang cukup dan mantap.

Jangan ditanya sama ada rakyat negara ini sanggup untuk berperang dengan Israel tetapi tanyalah berapa ramai yang telah mendaftar dengan pasukan simpanan, berapa ramai yang telah menjalani latihan ketenteraan yang solid. Jika jawapannya mengecewakan maka lupakan saja untuk membantu pihak Palestin yang sedang ditindas. Berperang mestilah mempunyai ilmu perang, mestilah faham apa itu peperangan kerana pergi ke medan perang tanpa ilmu medan perang yang asas bukan mati syahid yang diperoleh tetapi hanyalah mati katak, mati yang sia-sia.

-hantuperang-

Saturday, June 28, 2014

Pesanan Si Pejuang


Pesanan dari orang-orang tua jangan dilupakan. Ada hikmah, iktibar serta pengajaran dari pesanan orang-orang yang terdahulu yang pernah berjuang mempertahankan negara.




MAFIC - Malaysian Armed Forces Intelligence College

Tanggal 25 Jun 2014 tercatat satu peristiwa bersejarah yang akan sentiasa dikenang warga ATM secara amnya dan warga Kor Risik DiRaja secara khususnya. Ini kerana tarikh tersebut merupakan satu titik peralihan bagi Pusat Latihan Risik (PULARIS) yang bernaung di bawah Tentera Darat selama ini telah diserapkan ke dalam Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia secara rasminya pada 25 Jun 2014.

Penyerapan PULARIS ke dalam Kolej Perisikan ATM secara tidak langsung akan menambah baik mutu, kualiti serta kecekapan anggota risik yang menuntut di Kolej Perisikan ATM. Ini kerana transformasi yang dilakukan adalah seiring dengan transformasi yang dilakukan kepada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan bagi menambah nilai kualiti, mutu serta kecekapan terhadap warga risik.

Semoga dengan berlakunya transformasi bersejarah ini, jumlah dan kualiti operator-operator risik tidak kira sama ada MIO, FIO atau JLO dapat dipertingkatkan agar usaha memantau, membanteras serta menangani ancaman dari pihak musuh luar dan dalam dapat ditangani dengan berkesan agar maklumat risikan yang diperoleh disalurkan kepada pasukan tempur utama bagi mematikan langkah mereka-mereka yang berniat merosakkan keamanan negara kita.

Credit photo - FB Page Rejimen Gerak Khas

-hantuperang-