Ingatlah wahai saudaraku sekalian,
Tarikh ini adalah tarikh keramat,
14 Februari 1942...bukan penamat sebuah kisah,
Tetapi bermulanya lagenda kepahlawanan moden,
Yang tak pernah terfikir di lintas pemikiran bangsaku,
Betapa hebatnya anak melayu,
Betapa gagahnya anak jantan kita yang menentang musuh,
Bahawa sebenarnya kehebatan anak bangsa kita tidak pernah padam dari catatan sejarah,
Dari zaman Hang Tuah,
Menyusur sejarahnya hingga ke zaman Dato' Maharaja Lela,
Membawa ke perjuangan Mat Kilau serta Tok Janggut,
Sehingga tercetusnya lagenda moden anak bangsa Leftenan Adnan Saidi,
Wahai saudaraku,
Ini adalah kisah seorang lagenda,
Jati dirinya sangat tinggi,
Maruahnya sangat mahal,
Menentang menyanggah segala musuh yang datang,
Segala arah musuh diserang walau nyawa menjadi taruhan,
Tak sekali-kali berundur tak sekali-kali menyerah,
Kerana itu bukan sifat bangsa kita,
Hingga penjajah menjadi gusar,
Adakah askar-askar yang ditentangnya ini berjumlah satu platun atau satu divisyen sebenarnya,
Walau keringat semakin lemah,
Walau peluru semakin habis,
Walau nyawa menjadi taruhan,
Pantang Undur Tetap Mara!!!
Inilah sejarah kita wahai saudara-saudariku,
Jangan sesekali kita lupa...jangan sesekali kita alpa,
Sematkanlah didalam diri kita semua,
Berbanggalah kita dengan sejarah ini,
Sejarah yang tidak akan luput dari catatan bersejarah,
Menceritakan kepada dunia luar bahawa kita setanding mereka,
Duduk sama rendah berdiri sama tinggi,
Sedarlah akan diri ini,
Betapa kita hidup nikmat atas pengorbanan dan perjuangan lagenda terdahulu,
Ceritakanlah kisah ini kepada anak cucu kamu sekalian,
Agar mereka turut berbangga dengan sejarah ini,
Betapa nenek moyangnya merupakan pejuang sejati, pahlawan gagah,
Supaya suatu hari nanti,
Legasi kepahlawanan Leftenan Adnan Saidi kekal diteruskan sehingga ke akhir zaman.
*Al-Fatihah untuk arwah Leftenan Adnan Saidi yang telah terkorban ketika Perang Dunia ke-2 pada tanggal 14 Februari 1942*
-hantuperang-